Ke arah pembaharuan paradigma gerakan Islam kontemporari dalam menghadapi permasalahan zaman dan lingkungan
Dr. Amran Muhammad
Yang Di Pertua Abim Wilayah Persekutuan
1. Permasalahan zaman dan lingkungan kontemporari
Sunatullah menetapkan bahawa pada setiap zaman dan lingkungan, permasalahan yang bakal ditemui oleh golongan yang membawa obor-obor kebenaran dan panji-panji keadilan Islam adalah khusus bagi zaman dan lingkungan mereka. Justeru persiapan dan kelengkapan yang diperlukan bagi golongan ini dalam menghadapi permasalahan tersebut mestilah sesuai dan bertepatan dengan permasalahan yang ditempuhi. Khazanah tradisi Islam sarat dengan bukti-bukti bagaimana response atau jawapan terhadap zaman dan lingkungan tertentu boleh menjadi iktibar kepada "pemuda-pemudi yang berusaha memahami dan menghayati semangat zaman dan lingkungan." Paparan-paparan dari al-Qur'an menayangkan bagaimana para rasul dan anbiya' menghadapi permasalahan zaman dan lingkungan kehidupan masyarakat yang khusus di kalangan mereka. Keindahan dan ketinggian ayat-ayat al-Qur'an yang diungkapkan oleh generasi awal Islam itu sendiri adalah jawapan secara-langsung (real-live) kepada permasalahan terhadap kebanggaan sophistication dan complexities kesusasteraan dan kebudayaan Arab-jahiliyyah kontemporari Rasulullah SAW. Pembentukan dan perkembangan tradisi keilmuan tafsir-hadith-fiqh-falsafah-kalam-tasawwuf juga menggambarkan betapa "pemuda-pemudi zaman dan lingkungan Islam pada waktu itu" bangkit menjawab permasalahan pemikiran dan peradaban luar seperti Yunani, Romawi, Parsi dan India. Pada diri-diri "pemuda-pemudi zaman dan lingkungan", yang termasuk dalamnya para rasul dan anbiya', Rasulullah SAW dan para sahabat juga para ilmuwan tafsir-hadis-fiqh-falsafah-kalam-tasawwuf, terserlah keperibadian unggul yang menjadi sumber rujukan utama dan inspirasi membentuk pemikiran dan peradaban umat Islam dalam pelbagai dimensi kehidupan mereka pada setiap zaman dan lingkungan.
Semangat zaman dan lingkungan kontemporari ditandai dengan permasalahan ketamadunan atau peradaban. Kemajuan sains dan teknologi komunikasi kontemporari memungkinkan wujudnya fenomena globalisasi dalam hampir setiap dimensi kehidupan umat manusia. Globalisasi sebagai satu produk ketamadunan Barat kontemporari datang sebagai satu pakej yang mengandungi didalamnya tema-tema sarat-nilai Barat seperti liberalisasi, demokrasi, hak-hak asasi dan seumpamanya yang mempengaruhi bukan hanya kehidupan politik dan ekonomi umat malah kehidupan sosial dan budaya mereka. Sekiranya dahulu fenomena kolonialisasi dianggap sebagai permasalahan utama yang merungkai kehidupan sosial dan budaya umat Islam justeru ia ditentang habis-habisan. Globalisasi menerbitkan reaksi yang berbeda. Meskipun terdapat suara-suara umat yang menyebut tentang bahaya globalisasi, fenomena globalisasi adalah sesuatu yang kini dirangkul ketat oleh umat Islam diseluruh dunia terutamanya dalam dimensi politik, ekonomi dan pasaran dan kepenggunaan. Malah globalisasi pasaran dan kepenggunaan menjadi pintu masuk paling berkesan dalam merubah kehidupan sosial dan budaya umat.
Kemajuan teknosains komunikasi yang pesat juga telah memungkinkan terbitnya fenomena dialog antara ketamadunan dan peradaban. Beberapa dekad yang lalu, dialog antara ketamadunan tidaklah menjadi keprihatinan atau agenda utama umat dunia dan umat Islam khususnya. Fenomena kolonialisasi menjadikan umat Islam lebih menumpukan kepada persoalan identiti iaitu penegasan sifat dan jati diri dan bukannya persamaan dengan orang lain. Kewujudan dialog antara peradaban mewujudkan senario baru dalam hubungan antara umat Islam dengan umat yang lain. Tema-tema sarat-nilai Barat seperti liberalisasi, demokrasi, hak-hak asasi, feminisme, environmentalisme dan seumpamanya menjadi agenda utama dialog antara ketamadunan. Melalui dialoglah sifat keterbukaan dan keupayaan Islam menghadapi kemelut-kemelut (complexities/sophistication) kontemporari akan diuji dan dipertontonkan dikhalayak umat manusia.
Komunikasi kontemporari bukan sahaja menghasilkan fenomena globalisasi dan dialog malah juga menerbitkan pola-pola pemikiran baru di kalangan umat Islam. Pluralisme pemikiran dalam apa bentuk sekalipun adalah hasil dari kewujudan globalisasi dan dialog ini. Di negara kita Malaysia, pluralisme pemikiran kontemporari telah dimanifestasikan dalam pelbagai pentas dan arena penulisan dan perdebatan. Polemik golongan "liberal" yang sering dikaitkan dengan nama-nama seperti Sisters in Islam, Dr. Farish Noor, Sdr. Khalid Jaafar (IKD-Jalan Telawi.com), Sdr. Astora Jabat (Islam Fundamental.com), Dr. Kassim Ahmad dan kelompok "pencerahan/tanwirul Islam/Islamic enlightenment" dipertentangkan dengan golongan "literal" yang sering pula dikaitkan dengan nama-nama seperti kelompok salafi-wahabi, Dr. Asri Zainal Abidin, Ustaz Asri Mohd, Dr. Abdullah Yassin, al-Ahkam.net dan kelompok "ahli hadith sahih yang berpegang teguh kepada Shaykh Albany dan Uthaimin". Tidak kurang juga pengaruh dari aliran "tradisional" seperti Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dan kelompok ISTAC, Profesor Dato' Dr. Osman Bakar, Ustaz Uthman Muhammady, Sdr. Zaidi Abdullah Pondok Tapah, Ustaz Wan Mohd Saghir Wan Abdullah. Golongan "tradisional" ini juga disertai oleh pondok-pondok dan tarikat-tarikat yang berpegang kepada tradisi keilmuan al-Asha'ri-Syafie-al-Ghazali dalam bidang aqidah, fiqh dan tasawwuf mereka. Di pihak pemerintah dan pentadbiran agama pula, diperkenalkan aliran "hadhari" sebagai pendekatan formal kehidupan umat di negara kita dengan pemuka-pemuka seperti Dato' Dr. Abdul Hamid Othman, Ustaz Nakhaie Ahmad, IKIM, JAKIM dan seumpamanya.
Berhadapan dengan (1) globalisasi yang memerlukan kita menghadapi permasalahan dari pemikiran dan peradaban orang bukan Islam, (2) dialog yang memerlukan hubungan meraikan mengenai persamaan dan perbedaan antara kita dengan pemikiran dan peradaban orang bukan Islam dan (3) pluralisme pola-pola pendekatan beragama umat yang memerlukan kefahaman dan keterbukaan terhadap tafsiran Islam itu sendiri telah memberikan permasalahan baru kepada sesiapa sahaja di kalangan "pemuda-pemudi yang berusaha memahami dan menghayati semangat zaman dan lingkungan." Semangat zaman dan lingkungan yang bercirikan globalisasi, dialog dan pluralisme inilah yang memerlukan persiapan dan kelengkapan khusus bagi pembawa obor-obor kebenaran dan panji-panji keadilan Islam sekiranya mereka ingin terus relevant dan significant dalam melaksanakan proses islah mereka. Inilah permasalahan zaman dan lingkungan yang mesti ditangani oleh gerakan Islam kontemporari.
2. Sejarah perkembangan dan pencapaian paradigma fiqh al-harakah
Secara mudahnya mungkin kita boleh menyebut kebangkitan dunia moden gerakan umat Islam bermula dengan kehadiran tokoh-tokoh pembaharuan pemikiran Islam seperti Shaykh Jamaluddin al-Afghani, Shaykh al-Azhar Muhammad Abduh dan Shaykh Rashid Redha yang meniliti permasalahan umat pada dimensi intelektualnya. Kemudiannya dari sudut pergerakan sosial-politik melalui al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna tertubuhnya gerakan Ikhwan al-Muslimun yang menjadi rujukan dan ikutan bagi hampir kesemua gerakan Islam diseluruh dunia termasuk di negara kita Malaysia. Di benua Indo-Pakistan semangat ini dicetuskan oleh al-Imam Sayyid Abu 'Ala al-Mawdudi dengan gerakan Jama'at Islaminya. Yang hampir pasti ialah Ikhwan al-Muslimun dan Jama'at Islami telah menjadi paradigma atau model bagi era kebangkitan gerakan umat Islam dimerata-rata tempat dunia umat Islam dari Maghribi sehingga ke Makassar. Era kebangkitan ini juga telah menyaksikan kemunculan idealog utama, al-Syahid Sayyid Qutb dengan dikotomi Islam-jahiliyyah modennya dan juga dengan pembinaan jundullah dan hizbullahnya mengisi paradigma kebangkitan ini. Meskipun penelitian lebih terperinci terhadap pemikiran asal al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna dan kaedah gerak kerja Ikhwan al-Muslimun jelas memperlihatkan satu bentuk pembaharuan Islam berpaksikan kepada pendekatan dakwah dan tarbiyyah untuk membangunkan kekuatan politik, sosial dan ekonomi umat, ternyata idea-idea al-Syahid Sayyid Qutb lebih membina inspirasi dan menarik imaginasi para aktivis gerakan. Malah adalah tidak keterlaluan untuk disebut bahawa paradigma era kebangkitan gerakan Islam sangat kuat diwarnai dengan tasawwur pemikiran Sayyid Qutb dengan pembinaan pertentangan antara Islam dan kuffar melalui istilah-istilah dikotomi jundullah dan hizbullah dan thaghut, al-'ilmaniyyah (sekularisme) dan jahiliyyah moden itu sendiri. Dalam kerangka tasawwur pemikiran Sayyid Qutb inilah pemikiran-pemikiran al-Banna dan Ikhwan ditafsir dan disesuaikan. Sehubungan dengan itu maka gerakan gerakan Islam yang sangat mengkagumi al-Banna dan Ikhwan secara tidak sedar menjadikan pemikiran Sayyid Qutb sebagai latarbelakang modus operandinya. Inilah yang akhirnya terbit dikenali sebagai fiqh al-harakah atau keadah-kaedah gerak kerja gerakan Islam yang kini diikuti oleh gerakan-gerakan Islam diseluruh dunia. Berpandukan fiqh al-harakah inilah gerakan-gerakan Islam mengisi era kebangkitan gerakan Islam dari pertengahan abad keduapuluh sehinggalah permulaan alaf baru ini. Antara pendekatan-pendekatan utama fiqh al-harakah yang dihayati oleh gerakan-gerakan Islam untuk sepanjang tempoh tersebut ialah mengembalikan kesedaran Islam wa'yu Islami dikalangan umat Islam untuk menjadikan Islam sebagai al-Din ataupun cara hidup umat mencakupi setiap dimensi kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara dalam semua lapangan politik, ekonomi dan sosial kehidupan; mengembalikan kekuatan dan pengaruh politik umat Islam dengan menjadikan idealisme penubuhan negara Islam sebagai tujuan utama gerakan mereka justeru persoalan dawlah islamiyyah, masyarakat Islam Madinah, syari'ah dan hukum hudud biasanya menjadi tema dan keperihatinan mereka; dan mengembalikan institusi-institusi sosial Islam dalam sektor pendidikan, pentadbiran, keluarga dan seumpamanya sebagai alternatif bagi umat untuk menghayati era kebangkitan ini. Dalam menghayati fiqh al-harakah dan mengisi era cita-cita kebangkitan umat tersebut, biasanya gerakan-gerakan Islam akan menghadapi tentangan dari pemerintah-pemerintah negara umat Islam itu sendiri yang sebenarnya merupakan boneka setia bekas para penjajah yang menjajah negara umat Islam sebelum mereka memperolehi kemerdekaan. Dalam konteks inilah menerangkan mengapa paradigma dan tasawwur pertentangan antara Islam dan jahiliyyah moden dan taghut yang digagaskan oleh Sayyid Qutb lebih mendapat tempat dikalangan aktivis gerakan. Malah disetengah-setengah tempat, kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh para pemerintah negara umat Islam mengesahkan secara pasti pemikiran Sayyid Qutb dan serta menambahkan keyakinan aktivis gerakan terhadap gagasan ini. Latarbelakang perjuangan membebaskan umat Islam dari belenggu para penjajah dan mengembalikan keyakinan umat kepada Islam sangatlah kuat mempengaruhi pemikiran dan tindakan gerakan Islam. Justeru kita mendapati dalam perbincangan fiqh al-harakah, penolakan terhadap Barat, kolonialisasi, sekularisme, demokrasi dan nasionalisme sangatlah ketara. Maka terbitlah alternatif sistem politik, negara, ekonomi dan pendidikan Islam sebagai menjawab penolakan-penolakan tersebut.
3. Keterbatasan fiqh al-harakah dalam zaman dan lingkungan kontemporari
Disebalik sumbangan besar yang telah diberikan oleh fiqh al-harakah, kita boleh mengenalpasti beberapa kelemahan yang wujud dalam paradigma fiqh al-harakah dengan menyaksikan pelbagai perkembangan semasa dalam dunia kebangkitan Islam dalam beberapa tempoh terdekat ini. Pertama sekali fiqh al-harakah dibentuk dalam zaman kolonialisasi masih lagi membelenggu umat Islam dimana para pemerintah umat rata-ratanya sekadar mengikut telunjuk para penjajah dan gerakan Islam berusaha untuk membebaskan umat dari kongkongan penjajah. Kini umat Islam sedang menghadapi era globalisasi yang mana permasalahan pemikiran dan peradaban menjadi lebih utama diwaktu yang sama masyarakat Islam telah menunjukkan keinginan dan komitmen yang tinggi terhadap penghayatan Islam sebagai al-Din. Justeru fiqh al-harakah mestilah mengambil-kira perkembangan era globalisasi dan permasalahan pemikiran dan peradaban ini. Keduanya fiqh al-harakah secara umumnya masih bersifat umumiyyat dalam ertikata kita masih lagi tidak dapat memperincikan alternatif-alternatif Islam dalam konteks praktikal-sosial dan institusi. Ini termasuklah soal negara Islam itu sendiri, perlaksanaan undang-undang Islam, hukum hudud, demokrasi, hak-hak asasi manusia dan kebebasan bersuara tidak ketinggalan juga soal peranan dan sumbangan wanita. Pendetailan yang dimaksudkan disini bukan sahaja tertumpu kepada pendetailan dalam konteks masyarakat Islam semata-mata malah pendetailan dalam konteks perbandingan antara peradaban atau dialog itu sendiri. Yang jelas fiqh al-harakah masih belum berupaya menghasilkan blue-print tentang alternatif-alternatif Islam. Perkara ini pada tidaklah sukar untuk difahami sekiranya kita mengetahui asas-asas pemikiran dan keilmuan yang membina fiqh al-harakah itu sendiri. Ketiga, pengalaman-pengalaman yang telah dan sedang dilalui oleh gerakan-gerakan Islam semasa seperti di Turki, Iran, Afghanistan, Mesir, Syria, Jordan, Tunisia, Algeria,Pakistan, Indonesia dan Malaysia sendiri sewajarnya menjadi iktibar penting dalam kita memahami keterbatasan fiqh al-harakah. Realiti sosial-ekonomi-politik semasa umat Islam, percaturan kuasa-kuasa Barat, kekuatan sumber-sumber pemikiran dan peradaban Barat dan kelemahan serba-serbi umat Islam seharusnya menjadikan aktivis gerakan Islam lebih insaf terhadap complexities/sophistication dan uncertainties yang perlu mereka hadapi untuk mengisi era kebangkitan ini. Tanpa kefahaman dan kesedaran ini dan pengekalan sifat naive dan indifferent apatah lagi ignorant terhadap realiti-realiti ini tidak akan membawa kita kemana-mana. Slogan dan retorik bahawa kejatuhan Barat, kapitalisme, komunisme, nasionalisme dan seumpamanya secara automatik akan membawa kepada penyelesaian dan penerimaan Islam sebagai alternatif tidaklah menjadi kenyataan selepas kejatuhan regim komunismenationalisme Soviet di Afghanistan, terburainya Soviet dan munculnya negara-negara umat Islam di bekas Kesatuan Soviet juga tidak menampakkan Islam sebagai pilihan terbaik umat dalam menghadapi kemelut sosial-ekonomi dan politik semasa. Sokongan dan bantuan yang diberikan oleh Amerika dan Barat kepada Taliban ketika menetang Rusia dan kehancuran yang ditimpakan oleh Amerika kepada mereka selepas itu, kegagalan gerakan-gerakan Islam di Indonesia untuk mengisi era pasca- Suharto. Kesungguhan Tayyib Erdogan untuk menggelarkan dirinya muslim demokrat, golongan konservatif, dan mengekalkan Turki sebagai sebuah negara sekular serta berusaha untuk memastikan Turki dapat menyertai Kesatuan Eropah adalah bukti-bukti bahawa fiqh al-harakah era kebangkitan gerakan Islam tidak berupaya lagi menyesuaikan pendekatannya bagi menghadapi kerumitan-kerumitan umat ketika ini. Perkembangan-perkembangan terkini setelah Peristiwa 11 September tentulah lebih sukar untuk dihuraikan secara simplistic sepertimana yang dikemukakan oleh fiqh al-harakah. Perubahan globalisasi dan geo-politik semasa yang menyaksikan dominasi menyeluruh pemikiran dan peradaban Barat dalam dimensi politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan memerlukan satu pendekatan baru untuk kita mengisi era kebangkitan baru gerakan Islam ini. Paradigma dominan fiqh al-harakah dalam kerangka pemikiran Sayyid Qutb yang berpaksikan pada pertentangan antara Islam dengan taghut, kuffar dan jahiliyyah ternyata tidak boleh menjawab dan menggarap fenomena-fenomena yang telah dan sedang dialami oleh kebanyakan gerakan-gerakan Islam hari ini.
4. Abim dan pembentukan elemen-elemen fiqh al-hadharah
Salah-satu rahmah dan barakah yang wujud dalam gerakan Abim setakat ini ialah keupayaan kita untuk membaca, memahami dan membuat tindakan yang berhikmah dalam mengembangkan dakwah dan tarbiyyah dalam konteks negara Malaysia. Kemandirian kira membuat keputusan berdasarkan ketidaktaksuban dan ketidaktakjuban kita kepada fiqh al-harakah sepertimana yang digagaskan oleh Sayyid Qutb terbukti telah membawa faedah dan manfaat untuk gerakan. Sekalipun kita belum lagi mengungkapkan apa yang disebut sebagai fiqh al-hadharah itu, pemikiran dan tindakan kita dalam banyak hal mencerminkan potensi Abim untuk menggagaskan pemikiran dan tindakan berasaskan kepada fiqh al-hadharah. Sekarang ini bilamana kita mengwar-warkan pendekatan yang diambil oleh Shaykh Rashid al-Ghanoousi, pemimpin Gerakan Islam Algeria al-Nahdah yang kini mendapat suaka politik di England ini sebenar kita sekadar mencari legitimasi tentang apa yang telah lama kita laksanakan. Gagasan manhaj malizi yang telah lama dicetuskan oleh mantan Presiden Dato' Dr. Ustaz Siddiq Fadhil sebenarnya memperlihatkan keyakinan dan keberanian kita untuk keluar atau sekurang-kurangnya tidak terkongkong dengan fiqh al-harakah berpaksikan Sayyid Qutb yang dominan itu. Shaykh Rashid al-Ghanoousi sekarang ini misalnya melabelkan dirinya sebagai muslim demokrat, menyeru penglibatan gerakan Islam dalam proses demokrasi, mengambil peluang-peluang untuk bekerjasama dengan elemen-elemen yang boleh mengukuhkan umat Islam itu sendiri. Antara hujah-hujah syara' yang dikemukakan termasuklah tentang Nabi Yusuf AS meminta diberi peranan dalam kerajaan firaun juga tentang Rasulullah SAW sendiri yang meminta umat Islam berlindung dalam kerajaan bukan Islam di Habsyah. Pada pengamatan saya, hujah-hujah ini bukanlah suatu yang baru bagi Abim malah inilah perkara-perkara yang telah Abim laksanakan 20 tahun dahulu melalui kemasukan mantan Presiden Saudara Anwar Ibrahim kedalam kerajaan dan sokongan yang kita berikan kepada kerajaan Malaysia dalam program Islamisasi. Dalam banyak hal Abim telah 20 tahun mendahului Shaykh Rashid al-Ghanoousi. Yang pasti banyak sekali sikap dan pendirian Abim yang dilihat seolah-olah tidak menepati fiqh al-harakah yang dominan itu telah dikecam dan dicemuh oleh pihak-pihak yang berpegang teguh kepada pemikiran tersebut. Seingat saya tidak pernah ada dikalangan gerakan-gerakan Islam di tanahair selain dari Abim yang berani memperkatakan soal sifat-sifat tempatan dan ciri-ciri kemalaysiaan dalam modus operandi gerakan mereka. Malah gerakan kita disindir dan diperlekehkan kerana mengungkapkan sifat-sifat tempatan (local) yang perlu ada bagi gerakan Islam. Bagaimanapun Abim tidak langsung memiliki perasaan inferiority complex apabila dikatakan tidak ikhwani atau tidak jam'iy malah lebih dahsyat lagi tidak syar'iy apabila berusaha untuk mengenengahkan idea-idea tersebut. Kesemuanya ini pada fikiran saya merupakan asas asas yang kukuh untuk Abim mempelopori fiqh baru untuk era kebangkitan baru gerakan Islam melalui pemikiran fiqh al-hadharah. Malah penubuhan Akademi Kajian Ketamadunan yang dipimpin oleh Dato' Dr. Ustaz Siddiq Fadhil itu telah membuktikan betapa kita telah mendahului gerakan-gerakan Islam yang lain dalam usaha mempelopori pengisian kebangkitan generasi baru ini dengan pengisian fiqh al-hadharah. Mudah-mudahan dengan kewujudan Akademi Kajian Ketamadunan itu, ia menjadi pusat penyelidikan dan pengembangan pemikiran dan penghayatan fiqh al-hadharah demi manfaat bukan sahaja gerakan Abim malah gerakan-gerakan Islam lain di tanahair dan di seberang laut dan akhirnya untuk manfaat umat Islam seluruhnya.
5. Paradigma fiqh al-hadharah sebagai pengisian pembaharuan gerakan Islam kontemporari: Satu skima perbandingan
1. Pencapaian fiqh al-harakah (1970an-2000)
a) Kesedaran baru Islam sebagai al-Din
b) Kemunculan institusi-institusi Islam
c) Penerimaan pemerintah dan masyarakat terhadap Islam
d) Perlaksanaan program-program Islam oleh pemerintah
e) Pemerataan dakwah di kalangan umat Islam
2. Islam dan dakwah menjadi fenomena/aktiviti yang disertai oleh lebih ramai umat Islam secara individu/berkumpulan/NGO/agensi pemerintah/rasmi/tidak rasmi
3. Gerakan Islam hilang niche, comparative advantage, competitive edge akibat wujudnya sifat generic atau semua pihak melakukan perkara yang sama dari sudut produk dan pasaran (me-too products)
4. Pemerintah tidak lagi melihat gerakan Islam sebagai a force to be reckon with. Gerakan Islam dimarginalisedkan dari mainstream politik atau decision-making. Hanya diberi peranan sebagai suppliers/contractors untuk program-program Islam pemerintah
5. Tiada lagi input-input substantive dari gerakan Islam untuk menghuraikan fenomena/situasi pasca 9/11 dll.