Sheikh Rashid Ridha
"Wahai orang Timur yang sedang nyenyak tidur! Yang sedang diulit mimpi! Cukuplah! Lenamu sudah melampau. Bahkan tidurmu tidah ubah seperti pengsan, bahkan kematian. Bangunlah. Seka matamu. Pandanglah dunia baru ini. Bumi ini sudah tidak seperti dahulu lagi. Manusia telah masuk ke alam baru bikinan alam yang sangat besar."
Petikan Majalah al-Manar
Sheikh Muhammad Rashid Ridha dilahirkan pada tahun 1865 di al-Qalamun, Tripoli, Syria. Beliau meninggal dunia pada tahun 1935 di Mesir. Zamannya merupakan era perubahan di mana masyarakat Arab menerima budaya Barat. Dan mengetepikan adat resam. Orang ramai di kala itu terumbang -ambing diantara dua situasi: Mengenal pasti identity dan menghadapi era tamadun baru. Ia merupakan dilema besar yang merangkumi segenap aspek hubungan kemanusiaan: politik, ekonomi, budaya dan kerohanian. Rashid Ridha mengharunginya dengan kesedaran, semangat kental serta berani yang bukan kepalang.
Beliau dilahirkan lima tahun selepas bencana 1860-peristiwa getir yang menimpa wilayah Timur Tengah. Peristiwa ini tidak hanya bersifat perang saudara dan puak, bahkan lebih menjurus kepada revolusi menghadapi serangan bangsa Eropah terhadap masyarakat tradisional Arab. Bencana 1865 ini tidak lain tidak bukan merupakan tanda terungkainya asas sosial Arab akibat revolusi industri Eropah. Ia telah memindahkan 'barangan' baru yang tidak dapat ditandingi oleh industri tempatan. Tambahan lagi, idea-idea Revolusi Perancis amat ampuh jika dibandingkan dengan apa yang dimiliki oleh kerajaan-kerajaan Arab di masa itu.
Di dalam suasana inilah beliau dilahirkan. Kebimbangan beliau ini telah dirasi oleh reformis terdahulu, terutama Jamaluddin al-Afghani yang bertanggungjawab dalam mendirikan benteng bagi melawan arus Barat yang semakin mengancam. Jamaluddin menggunakan pendekatan kesatuan Islam dan kekuatan tentera di dalam seruannya. Begitu juga dengan Muhammad 'Abduh yang menjadikan asas agama, sosial serta kebudayaan sebagai platform reformasinya. Dengan itu Sheikh Muhammad Rashid Ridha bolehlah dianggap sebagai orang ketiga dalam membina identiti umat.
Hijrahnya ke Mesir pada tahun 1898 merupakan terjemahan kepada cita-cita tingginya dan permulaan kepada peranan penting yang dimainkan sepanjang perjalanan hidup. Sejurus ketibaannya di Mesir, beliau mengasaskan majalah al-Manar. Ia merupakan majalah ulung, paling laris, berpengaruh dan berhasil menghimpunkan golongan akademik serta para pemikir. Mereka sama-sama berdialog dan berbincang dengan ikhlas dalam mencermin diri dan menilai identiti di samping mencari jalan keluar.
Petikan berikut yang disunting dari mukadimah terbitan pertama majalah tersebut akan dapat menjelaskan matlamat beliau.
"Ini merupakan suara lantang yang ditulis dalam bahasa arab yang cukup jelas. Ia adalah seruan kebenaran dari bangsa Arab yang akan menusuk ke telinga bangsa Timur. Ia terbit dari tempat yang tidak jauh sehingga dapat didengari oleh orang Timur dan Barat, dibawa angin lantas dinikmati pula oleh orang-orang Turki dan Parsi."
"Segala benda sudah pandai bercakap tanpa lidah, menulis tanpa pena. Semua haiwan mula menjelajah ke seluruh pelosok bahkan terbang menentang angin."
"Janganlah kamu bingung dengan apa yang didengar. Jangan pula terkedu dengan apa yang dilihat. Zaman ini zaman ilmu dan amal. Sesiapa yang berilmu dan beramal maka berkuasalah ia. Yang jahil dan malas pula hancur. Engkau mesti berilmu dan beramal. Latih dirimu dengan kedua-duanya. Didiklah anakmu dengannya."
Majalah al-Manar telah menjadi gema kepada permasalahan dunia Arab dan Islam dalam menangani isu-isu penting. Sheikh Rashid Ridha memikul sebahagian besar tugas ini. Tafsir al-Manar yang dikarangnya adalah merupakan cabaran terhadap fahaman tradisi. Fatwa al-Manar pula menjadi pedoman utama serta manafikan tohmahan yang mengatakan Islam adalah agama yang sempit lagi jumud. Ruangan surat pembaca pula menjadi perantara di antara masyarakat Islam sedunia dan orang Arab. Bahkan, ada di antara soalan yang diajukan datangnya dari Indonesia, Maghribi, Asia Tengah dan pedalaman Afrika. Ada di antara soaln-soalan ini yang menjadi amat popular. Sebagai contoh. Amir Syakib Arsalan menjawab satu soalan yang diajukan oleh seorang warga Indonesia: “Kenapakah umat Islam mundur sedangkan umat lain maju?” Ia merupakan jawanpan pertama yang disiarkan di dalam keluaran al-Manar. Kemudiannya ia menjadi sebuah tajuk buku yang terkenal.
Sheikh Rashid Ridha di luar al-Manar pula merupakan seorang Arab Muslim yang mempunyai peribadi unggul dan berpengaruh. Beliau mempunyai daya tarikan di mana sahaja perjumpaan, seminar dan majlis ilmiah yang dihadirinya. Di sanalah perbincangan dibuat bagi membincangkan isu-isu berkaitan permasalahan akal dan rohani serta isu politik yang tertumpu kepada tuntutan kebebasan, kemerdekaan dan reformasi.